6 Apr 2012

Sirah Hijrah Nabi Muhammad s.a.w.


“Lawan! Lawan! Lawan!”, kedengaran sorakan empat orang rakan baik, Yusuf, Luqman, Sofea, dan Majidah. Mereka sedang menyaksikan perlawanan labah-labah antara Belang dan Chinot. Belang adalah labah-labah kecil milik Luqman, manakala Chinot adalah labah-labah milik Yusuf. Empat sahabat baik ini bersekolah di Sekolah Rendah Bina Insan, Bandar Seri Putera, Selangor. Waktu sekarang menunjukkan pukul 2 petang. Empat sahabat ini sedang menunggu untuk sesi pembelajaran Agama Islam sebelah petang di sekolah tersebut. Mereka asyik dengan perlawanan tersebut sehingga tidak sedar seorang ustaz menghampiri mereka.
Ustaz: Assalamu’alaikum… Apa hang pa semua buat ni? (Dengan senyum, suara lembut dan penuh kasih-sayang).
Yusuf, Luqman, Sofea, dan Majidah terkejut dan tunduk ketakutan.
Ustaz : Tak elok kita menganiaya haiwan. Kita kena sayang haiwan kerana haiwan juga makhluk ciptaan Allah yang berhak untuk disayangi.
Empat sahabat tidak berani lagi memandang Ustaz. Masing-masing terkedu.
Ustaz : Labah-labah ini antara haiwan yang Nabi Muhammad sayang. Ia telah berjasa kepada Nabi suatu masa dahulu. Kan saya selalu pesan, kalau kita sayang Nabi, kita kena buat apa yang Nabi suruh. Kalau Nabi sayang haiwan, kita pun kena sayang haiwan.
Majidah: Kenapa kita kena sayang labah-labah Ustaz? Haiwan ini selalu buat sawang kat rumah saya. Kesian emak kena bersihkan sawang kat syiling rumah.
Ustaz : Dah, lepaskan semua labah-labah tu. Kalau kamu lepaskan, Ustaz akan cerita kisah labah-labah ni. Nak tak?
Yusuf, Luqman, Sofea, dan Majidah serentak: Naaaaaak!
Luqman dan Yusuf pun melepaskan Belang dan Chinot ke sebatang pokok berhampiran. Mereka dan Ustaz pun duduk di satu wakaf yang terdapat di taman sekolah.
Ustaz : Sebenarnya labah-labah telah berjasa dalam proses Hijrah Nabi Muhammad saw dari Mekah ke Madinah.
Sofea: Hijrah tu apa Ustaz?
Ustaz : Hijrah maknanya berpindah. Nabi saw diperintahkan Allah supaya berpindah ke Madinah. Jarak Mekah ke Madinah lebih kurang 500km. Pada asalnya, Nabi Muhammad saw lahir dan menetap di Mekah. Allah melantik Nabi sebagai Rasul pun di Mekah. Nabi berdakwah kepada kaumnya supaya mengamalkan ajaran Islam pun bermula di Mekah. Pendek kata, semenjak lahir sehingga, membesar, belajar berniaga, berdakwah dan berumah-tangga di Mekah. Nabi saw memang sayang sangat dengan Mekah.
Yusuf: Kalau sayang kenapa pindah Ustaz?
Ustaz : Allah yang telah perintahkan Nabi saw untuk berhijrah. Pada masa itu, ketua-ketua kaum Quraisy telah bermesyuarat untuk membunuh Nabi saw. Oleh kerana itu, Allah telah menghantar malaikat Jibrail berjumpa Nabi saw. Jibrail menyampaikan pesan kepada Nabi saw yang Allah arahkan baginda berpindah ke Madinah.
Pada malam itu, Abu Jahal bersama 100 orang lelaki dari 10 kabilah Quraisy datang ke rumah Nabi saw. Abu Jahal sangat yakin yang dia boleh membunuh Nabi saw. Kumpulan itu mengepung rumah Nabi saw dan merancang untuk menikam Nabi ketika Nabi tidur.
Nabi yang telah mendapat maklumat daripada Jibrail tentang rancangan jahat orang Quraisy Mekah, meminta Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali untuk datang ke rumah baginda malam itu. Saidina Ali ditugaskan untuk menggantikan baginda dan tidur di katil. Saidina Ali menggunakan selimut Hadrami yang selalu dipakai Nabi saw, dan menutup badan dan tidur di katil Nabi saw.
Di luar, kumpulan tadi masih mengepung rumah Nabi saw. Mereka belum bertindak kerana masih menunggu tengah malam seperti rancangan Abu Jahal. Nabi saw mengambil segenggam pasir dan membaca ayat dari Surah Yasin (ayat 9).
Surah Yaseen, ayat 9
Maksudnya: Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia Yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab Yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka Dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan Yang benar).
Pasir itu ditaburkan kepada kumpulan pembunuh Quraisy. Dengan kuasa Allah, tidak seorang pun sedar apa yang Nabi saw lakukan. Terus Nabi saw keluar dan menuju ke rumah sahabat iaitu Saidina Abu Bakar.
Luqman: Apa jadi dengan kumpulan pembunuh tu, Ustaz? Saidina Ali kena bunuh ke?
Ustaz : Kesan daripada pasir yang Nabi saw tabur tadi, mereka semua tidak sedarkan diri sampai pagi. Apabila mereka sedar, mereka terus merempuh masuk ke rumah Nabi. Mereka pun tangkap Saidina Ali yang menyamar sebagai Nabi saw dan tidur di katil baginda. Apabila mereka sedar yang itu adalah Saidina Ali, mereka membelasah Saidina Ali. Abu Jahal bertanya di mana Nabi, tapi Saidina Ali cakap beliau tidak tahu. Apalagi, Saidina Ali diheret ke Kaabah dan dibelasah sekali lagi di situ. Macam tu lah pengorbanan umat-umat Islam sebelum ini. Mereka sanggup diperlakukan begitu kerana mereka yakin bahawa Islam adalah agama yang benar. Kita mesti bersyukur, asbab pengorbanan mereka, kita dapat nikmat Iman dan Islam.
Majidah: Ustaz ada beritahu tadi yang jarak Mekah ke Madinah lebih kurang 500km. Jauh tu, macam dari sini ke kampong saya di Perlis nun…Cerita la Ustaz. Macammana Nabi pindah. Nabi naik lori ke?
Ustaz : Dak aih, zaman dulu mana ada lori. Nabi saw naik unta dan jalan kaki saja.
Ustaz sambung lagi naa… Sekarang ni Nabi saw dah sampai ke rumah Saidina Abu Bakar. Nabi saw berehat sebentar di rumah Saidina Abu Bakar dan berpesan beberapa perkara kepada ahli rumah Saidina Abu Bakar. Kemudian melalui tingkap rumah, Nabi saw keluar dan menyambung perjalanan malam itu juga. Nabi saw adalah seorang yang bijak dalam merancang. Baginda tahu yang tentera Quraisy akan mencari baginda. Jadi Nabi saw memutuskan untuk melalui jalan lain yang lebih jauh untuk ke Madinah.
(Sambil Ustaz melukis peta perjalan Nabi saw semasa Hijrah ke Madinah)
Yusuf: Kenapa Nabi saw tak guna jalan biasa?
Ustaz : Kalau lalu jalan biasa, nanti orang Quraisy nampak. Tujuan utama Nabi saw guna jalan lain supaya tidak terserempak dengan orang kafir Quraisy. Nanti mereka senang nak kesan Nabi saw. Waktu itu, telah keluar arahan kepada seluruh kafir Quraisy supaya mencari Nabi saw. Sesiapa yang dapat menangkap atau membunuh Nabi saw akan diberi hadiah lumayan.
clip_image004
Ustaz : Kita sambung lagi. Malam itu, Nabi saw dan saidina Abu Bakar berjalan dengan cepat menuju ke Bukit Thur. Baginda mesti keluar dari Mekah dan bersembunyi di Gua Thur sebelum subuh. Sampai di Bukit Thur, mereka perlu memanjat ke atas untuk sampai ke gua. Dengan penuh kepayahan, mereka mendaki bukit yang berbatu-batu di waktu malam. Malangnya Nabi saw tergelincir menyebabkan melecet dan luka berdarah di tapak kaki. Saidina Abu Bakar dengan penuh kasih sayang mendokong Nabi saw yang cedera ke atas bukit dan sampai di pintu gua.
Saidina Abu Bakar meminta Nabi saw tunggu di luar gua sementara beliau memastikan yang gua itu selamat. Di dalam gua, Saidina Abu Bakar mengoyakkan kain baju beliau untuk menutup lubang-lubang. Lubang-lubang itu ditutup kerana dikhuatiri ada binatang bias seperti ular dan kala jengking. Setelah beliau berpuas hati, barulah beliau mempersilakan Nabi saw masuk.
Sofea: Sayang betul Saidina Abu Bakar kat Nabi saw.
Ustaz : Sebagai seorang Islam yang baik, kita kena sayang sahabat kita. Masa kawan kita susah, kita sama-sama tolong dia. Masa kita senang, kita pula kena tolong kawan-kawan kita yang tidak bernasib baik. Itulah sahabat sejati. Tapi ustaz tak habis lagi cerita macam-mana sayangnya Saidina Abu Bakar kepada Nabi saw.
Nabi minta izin untuk baring berehat. Oleh sebab sangat penat, Nabi pun tertidur. Saidina Abu Bakar meletakkan kepala Nabi saw di paha beliau supaya Nabi dapat tidur dengan lebih selesa.
Semasa Nabi sedang tidur, Saidina Abu Bakar ternampak satu lubang yang tidak ditutup. Lalu beliau menggunakan kakinya sendiri untuk menutup lubang tersebut. Rupa-rupanya di dalam lubang itu ada seekor kala jengking. Kala jengking itu terus menyengat kaki Abu Bakar beberapa kali dalam usaha untuk keluar dari lubang. Walaupun kesakitan, Abu Bakar tidak langsung mengejutkan Nabi dari tidur. Dalam usaha menahan kesakitan, air mata beliau menitik ke muka Rasulullah saw. Lalu baginda terjaga.
Nabi saw bertanya kenapa beliau menagis. Saidina Abu Bakar dengan berat hati memberitahu yang kakinya disengat kala jengking. Nabi saw pun berdoa, dan menyapu air liur baginda di tempat yang kena sengat. Rasa sakit itu terus hilang.
Macam itu sekali pengorbanan sahabat Nabi saw. Hebatnya mereka, sebab itu Allah telah pastikan tempat mereka di syurga.
Luqman: Macam mana Abu Jahal dan geng? Diorang tak kejar Nabi ker?
Ustaz : Abu Jahal and the geng bawa Saidina Ali ke Kaabah dan kurung beliau di situ selama beberapa hari.
Mereka pergi ke rumah Saidina Abu Bakar untuk menyiasat. Yang ada di rumah adalah Asma’, anak perempuan Saidina Abu Bakar. Asma juga tidak memberitahu di mana Nabi saw. Abu Jahal berang, lalu menempeleng Asma’ hingga tertanggal subang telinga beliau. Kasihan Asma’ kena sepak sampai macam tu sekali. Sakit tau kena sepak.
Kafir Quraisy tidak berputus asa. Mereka mengarahkan tentera lengkap bersenjata berkawal di semua jalan masuk ke Mekah. Malah mereka menawarkan 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menangkap Nabi saw. Zaman itu unta mahal dan jadi lambang kekayaan. Sesiapa ada banyak unta, maka mereka adalah orang yang kaya. Oleh kerana tawaran yang lumayan itu, ramai yang cuba memburu Rasulullah.
Yusuf: Apa yang Nabi saw buat kat Gua Thur, Ustaz?
Ustaz : Nabi saw dan Saidina Abu Bakar tinggal di Gua Thur selama tiga hari. Setiap malam, anak lelaki Saidina Abu Bakar iaitu Abdullah datang dengan membawa maklumat. Sebelum berhijrah, Nabi saw telah mengarahkan Abdullah untuk menjadi pengintip dan memberitahu apa tindakan yang dilakukan oleh kafir Quraisy. Abdullah akan tidur sebentar di Gua Thur dan balik semula ke Mekah sebelum Subuh. Dengan ini orang kafir Quraisy tidak akan mengesyaki aktiviti yang dilakukan oleh Abdullah.
Pada waktu siang, Amir bin Fahiirah, orang suruhan Saidina Abu Bakar akan datang bersama kambing-kambing jagaan beliau ke Gua Thur. Beliau membawa bekalan susu kambing dan daging bakar untuk makanan Nabi saw dan Abu Bakar. Kambing-kambing dibawa bersama untuk menghilangkan jejak tapak kaki mereka. Begitu teliti rancangan Rasulullah.
Majidah: Pada waktu itu, orang kafir Quraisy ramai-ramai keluar memburu Nabi saw. Mereka tak cari Nabi di Bukit Thur ke Ustaz. Kalau ikutkan peta Ustaz tu, Gua Thur ni kan dekat sahaja dengan Mekah.
Ustaz : Bagus soalan itu, Majidah. Memang, ada pemburu yang sampai ke Bukit Thur. Mereka telah memanjat bukit hingga ke Gua Thur itu. Namun Allah berkuasa atas segalanya. Pemburu itu telah meninjau-ninjau di pintu Gua Thur namun Allah pelihara Nabi saw dan Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar pernah bercerita bahawa beliau telah Nampak kaki-kaki pemburu pada pintu gua, namun tidak seorang pun yang masuk. Kenapa? Siapa boleh teka?
Luqman: Kenapa pemburu itu tak masuk dalam gua, Ustaz? Mereka takut nak masuk ke? Ada ular besar tunggu dalam gua ke?
Ustaz : Ini yang menariknya. Ingat lagi Ustaz ada bagitau tadi yang Nabi saw sayang kat labah-labah. Kenapa Nabi saw kata sunat kita tak bunuh labah-labah. Kalu kita jumpa labah-labah jangan bunuh, tapi lepaskan mereka kenapa?
Sebab, semasa pemburu kafir Quraisy sampai ke pintu Gua Thur, ada sawang labah-labah di pintu gua. Secara logiknya, bila ada orang yang masuk ke dalam gua, sawang labah-labah itu akan rosak. Tapi pemburu mendapati bahawa sawang labah-labah itu dalam keadaan baik. Di depan pintu gua juga ada sarang burung merpati yang mana merpati itu masih di dalam sarang. Mereka berfikir burung itu pasti sudah terbang sekiranya ada orang yang telah menghampiri mereka.
Itu semua asbab sahaja. Namun hakikatnya, Allah bersama Nabi saw dan melindungi baginda. Allah yang mengilhamkan labah-labah membuat sawang di pintu gua. Allah juga yang mengilhamkan burung merpati duduk di sarang mereka. Nabi saw sentiasa yakin Allah bersama mereka.
Ustaz : Nak dengar lagi sambungan cerita perjalanan Hijrah nabi?
Yusuf: Cerita ni menarik la, Ustaz. Kita sambung lagi sikit. Lagipun kami ada masa lagi sebelum masuk kelas agama petang.
Ustaz : Setelah tiga hari di Gua Thur, Nabi saw dan Saidina Abu Bakar menyambung perjalanan ke Madinah. Jalan yang Rasulullah pilih adalah ke arah Selatan, kemudian ke pesisiran pantai. Jalan rahsia ini diberitahu oleh Abdullah bin Uraiqot. Jalan ini jarang digunakan dan hanya diketahui oleh segelintir orang Quraisy sahaja. Tiada seorang pun yang dapat menjejak Nabi saw menggunakan jalan ini kecuali Suroqah bin Malik. Beliau merupakan seorang pahlawan Quraisy yang kuat dan hebat. Kudanya juga gagah dan pantas. Diriwayatkan bahawa tombak yang digunakan oleh beliau sangat berat sehinggakan apabila diseret dan terkena batu, memercik api. Hanya beliau seorang yang boleh menggunakan tombak itu untuk berlawan kerana sangat berat.
Beliau berjaya menjejak Rasulullah menggunakan jalan rahsia tersebut. Beliau mengekori Nabi saw sehingga hampir dibelakang. Apabila kuda beliau semakin hampir, kaki kuda yang hebat itu tersungkur. Ini semua dengan pertolongan Allah. Namun beliau tetap bangun dan berazam untuk membunuh Nabi saw, diarahkan kudanya supaya bangun untuk mengejar Nabi saw. Rasulullah tidak langsung memandang ke belakang dan meneruskan perjalanan. Dengan tenang, Nabi saw membaca ayat Quran dan memohon hanya pada Allah untuk melindungi mereka.
Sekali lagi kuda tersungkur kerana terbenam ke dalam pasir sehingga paras lutut. Setelah menyebat kudanya dengan kuat, Suroqah Nampak kepulan asap di belakang Nabi saw. Suroqah berasa sangat takut dan memohon ampun kepada Nabi saw. Nabi saw berpesan kepada Suroqah merahsiakan perjalanan mereka.
Nabi saw dan Saidina Abu Bakar meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Tabuk. Di Tabuk Nabi saw berjumpa dengan Saidina Ali yang telah dibebaskan dari kurungan. Nabi saw juga membuka sebuah masjid dan sempat solat Jumaat pertama dengan penduduk tempatan.

Nabi saw, Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali menyambung perjalanan ke Madinah. Alhamdulillah, sampai di Madinah tanpa halangan. Nabi saw dan sahabat sampai di Madinah disambut meriah dengan alunan syair khas.
طلع البدر علينا
من ثنيات الوداع
وجب الشكر علينا
ما دعى لله داع
أيها المبعوث فينا
جئت بالأمر المطاع
جئت شرفت المدينة
مرحبا يا خير داع
Luqman: Banyak betul tribulasi dalam perjalanan Hijrah Nabi saw. Baginda berkorban segalanya untuk menyebarkan Islam supaya kita semua tidak mati tanpa sahadah.
Ustaz : Sebab itu Ustaz selalu pesan, kita kena Cinta Rasulullah saw. Baginda berkorban nyawa untuk menyebarkan Islam. Sampai dah nak wafat pun Nabi saw tetap risau dengan umatnya. Hanya umatnya yang difikirkan. Bukan untuk kekayaan sendiri, atau kekayaan keluarganya sahaja. Tapi baginda sentiasa berfikir dan berusaha untuk memastikan umatnya tidak diazab denga api neraka.
Harap anak-anak semua fikirkan tentang pengorbanan Rasulullah. Sekurang-kurangnya kita buat apa yang Rasulullah suruh, kita sayang apa yang Rasulullah sayang. Masa pun dah pukul 3petang. Pergi masuk kelas. Nanti ada kesempatan lain Ustaz cerita lagi, InsyaAllah.
 
Nukilan: Mahani Ma’mum
Rujukan:
BIOGRAFI AGUNG RASULULLAH SAW, Rusydi Ramli Al-Jauhari
AL-RAHEEQ AL-MAKHTUM, Shaikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri

*Cerita ini akan datang dalam bentuk Window Phone apps, maklumat lanjut di http://ustaznazeer.blogspot.com .
































































- Ads by Google -